Dia menyambung lagi, "Saat ini, keadaan umat Islam telah hampir nazak. Tibalah masanya kita melakukan tajdid besar-besaran dengan menyerap dan menyebarluaskan fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ke seluruh IPTA dan IPTS. Dengan pemantapan ilmu dan amal, kita juga mampu untuk membina sistem tanzim yang kukuh, lalu mencipta gelombang pengaruh yang luas." Sungguh berkobar-kobar semangat sahabat ana ini yang sentiasa ingin mambantu masyaikh dalam berjuang mencapai cita-cita gerakan ASWJ.
Mendengarkan perkhabarannya baru-baru ini, dia akan menghadiri upacara penganugerahan ijazah sanad hadith, di samping mengkhatamkan kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Tiap-tiap malam baginya adalah maulid dengan melazimi zikir sebanyak sejuta kali. SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH! Dia sememangnya seorang yang thiqoh terhadap ilmu dan penjagaan amalannya. Bersyukur sungguh ana kerana dikurniakan sahabat yang beriman seperti dirinya. Doa ana akan terus mengiringi perjalanan hidupnya agar dia tetap tekun istiqomah kuat beramal dalam mengejar mardhotillah.
Beberapa hari lepas, dia berkongsi bersama ana dan sahabat-sahabat yang lain, memetik kata-kata daripada seorang syeikhuna, "Adakah kalian merasakan sudah cukup membela agama Islam dengan hanya merayakan majlis Maulid Nabi dan berzikir? Kamu semua seolah-olah berasa diri hebat dan berbangga-bangga dengan merayakan maulid, walhal kalian ternyata sama sekali tidak mengetahui hakikat maulid itu. Jika begitu, bagaimana mungkin kalian benar-benar dapat melaksanakan perayaan maulid mengikut seperti apa yang dilakukan oleh ulama'-ulama' dahulu? Sedangkan diri kalian sendiri jahil, tidak tahu mengenai ilmu 'aqidah, tidak mahir membaca kitab jawi dan tidak memahami Bahasa Arab. Kamu semua sememangnya jahil sekiranya tidak tahu mengenai 'aqidah ASWJ dan tidak mampu untuk bangkit membela 'aqidah ini. Apakah kalian sekadar melihat dan berdiam diri sahaja di kala persoalan isu 'aqidah ini diperlekehkan dan diperkotak-katikkan oleh golongan-golongan kelompok yang sesat lagi menyesatkan? Itukah yang kalian mahukan? Sungguh, kamu semua telah tertipu jika merasakan ke'aliman kalian itu diukur pada penampilan luaran. Adakah pada serban yang dipakai? Pada jubah yang dikenakan? Dan pada biji-biji tasbih yang selalu dibawa? Tidak, itu bukanlah ukuran bagi orang yang berilmu dan beramal dengan ma'rifat kepada ALLAH S.W.T. Hakikatnya, kalian jahil mengenai ilmu agama, tetapi cuba berlagak 'alim." Ya Allah, tarbiyyahnya begitu menusuk qalbu. Muhasabah buat kita semua.
............................................
Sedih! Ramai yang mengaku mengikut Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, tetapi jahil mengenai ilmu 'aqidah ASWJ. Ramai yang mahu menjadi ustaz dan ustazah di dalam Facebook, tetapi apabila di luar FB, tidak pula berusaha mengajak umat Islam kembali kepada 'aqidah yang sebenar. Dan ramai sebenarnya yang jahil, tetapi berlagak 'alim untuk mencari 'like' atau terkenal masyhur semata-semata. ASTAGHFIRULLAH!
Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali telah berbicara melalui karyanya, Bidayatul Hidayah yang berbunyi, “Seandainya engkau berniat mencari ilmu untuk berlumba-lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkemuka di kalangan sahabat-sahabat dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu dan menghimpunkan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha menghancurkan agamamu dan membinasakan dirimu sendiri dan menjual akhiratmu untuk mendapatkan harta dunia, maka penjualanmu adalah rugi dan perniagaanmu porak-peranda. Maka, ketika ini, guru yang mengajarmu itu laksana seorang yang menjual pedang kepada seorang perompak. Dan jikalau niatmu di dalam mencari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah, bukan semata-mata untuk pandai bercakap, maka hendaklah engkau bergembira, kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan ke arah tuntutan ilmu, dan ikan yang ada di dalam laut semuanya meminta pengampunan buatmu apabila engkau berjalan” Ya Allah, ana begitu terkesan dengan kata-kata tersebut. Begitu membuka ruang muhasabah buat diri ini. ALHAMDULILLAH!
............................................
(Bersambung)


2 ulasan:
nice la.
mereka memberi apa yang mereka ada.
Catat Ulasan