Ana masih ingat lagi, pada waktu awal-awal perkenalan kami dahulu, sahabat ana inilah yang banyak memberikan kata-kata semangat motivasi agar ana terus kuat setiap kali mendepani mehnah dan tribulasi kehidupan. Saat ana lemah tika itu, dia hadir memberikan nafas ar-ruh al-jadid ke dalam diri ini.
Katanya, "Siapa yang boleh memberikan semangat? Adakah semangat itu kita yang menciptanya? Bukan kita yang menentukan nasib kita dan nasib orang lain. Bukan kita yang berkuasa membina generasi yang hebat tetapi dengan keizinan Allah jua. Kesemua makhluq tiada daya usaha langsung melainkan Allah yang kurniakan. Kita semua tiada apa-apa. Tenaga bercakap, makan minum, tidur bangun, kesihatan, keselamatan, segala-galanya pemberian Allah. Kita makhluq yang sangat lemah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Berkuasa mentadbir seluruh makhluq yang ada di muka bumi ini. Tetapi, mengapa kita tidak yakin dengan Allah Ta'ala? Adakah kita yakin bahawa setiap pergerakkan dan percakapan kita itu kita sendiri yang menciptanya? Adakah kekuatan diri kita itu, lahir daripada diri kita sendiri? Kalaulah begitu pegangan kita, maka kita telah jatuh murtad, NA'UZUBILLAHI MIN DZALIK! Maka, percaya dan yakinlah bahawa segala sesuatu itu semuanya datang daripada Allah Ta'ala dan akan kembali jua kepada-NYA. Oleh sebab itu, yang pertama sekali, kita diperintahkan untuk mengenal Allah, kemudian memuji Allah dan bersyukur kepada-NYA. ALHAMDULILLAHI ROBBIL 'ALAMIN!".
Tersentak hati ana mendengarkan tausiyyahnya. Rupa-rupanya selama ini, ana tertipu dengan bisikan ghoirah nafsu sendiri yang rakus mengejar kehebatan pada pandangan mata manusia. Tetapi sebenarnya, begitu hebatnya tipu muslihat Syaitan dalam memperdayakan manusia. Sungguh, ana kecewa kerana ana tidak berlaku amanah ke atas diri sendiri. Ana tidak amanah terhadap ilmu, iman dan amal. Setelah dilambung dengan pujian-pujian 'terbaik', manusia begitu mudah lupa diri dan besar hati! Betulkah yang terbaik?! ASTAGHFIRULLAH!
Islam ini merangkumi semua. Apabila kita menyebut 'orang Islam', ia merangkumi segala aspek. Tidak dikatakan sebagai orang Islam sekiranya seseorang itu tidak beriman. Oleh itu, wajib kita mempelajari ketiga-tiga ilmu iaitu 'aqidah, feqh dan tasawwuf kerana ia merupakan rukun agama Islam. Jika terdapat orang yang mengatakan tasawwuf tiada dalam Islam, maka dia dihukumkan jatuh kufur. Oleh sebab itu, perlunya kita menuntut ilmu secara bertalaqqi dan bersanad sehingga ke Rasulullah s.a.w.
Apa itu talaqqi? Iaitu berada di hadapan guru mursyid yang thiqoh, membuka kitab-kitab tertentu dan mempelajari dari satu baris ke satu baris dan dari satu muka surat ke satu muka surat dengan penuh tertib. Adab sebagai at-tolib al-ilm menuntut agar perkara paling utama yang mesti diluruskan terlebih dahulu adalah niat, maqosid menuntut ilmu. Belajarlah kerana Allah! Kemudian, untuk menjaga diri kita daripada terjatuh ke dalam lembah kejahilan dan kekufuran. Kemudian, ilmu itu dipelajari bertujuan untuk beramal. Kemudian, memberi peringatan kepada orang-orang sekeliling serta berdakwah. Inilah manhaj yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w yang wajib kita ikuti.
Jikalau kita mengatakan bahawa kita benar-benar mengikuti Nabi s.a.w, maka wajib kita mewarisi ilmu yang Nabi tinggalkan dan perjuangan yang Nabi bawa iaitu memperbetulkan 'aqidah ummat. Perjuangan haqiqi akan lebih bermakna apabila kita sudah dicukupkan dengan bekalan ilmu 'aqidah, feqh dan tasawwuf, di samping mengetahui tujuan hidup kita diutuskan ke dunia serta menyedari matlamat hidup yang sebenar. Justeru, kita dibimbing oleh para 'alim ulama' dan auliya'ullah, maka tarbiyyah yang kita terima adalah tarbiyyah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kerana, "Ulama' adalah warisan Nabi." (Hadith Riwayat Muslim). Nabi tidak meninggalkan kekayaan dunia dan harta yang banyak, tetapi Nabi hanya meninggalkan ilmu dan perjuangan.
Islam itu mula tertegak dengan ilmu, kemudian barulah ke mata pedang. Ulama-ulama' dahulu sanggup berjuang sehingga mati dan sedikitpun tidak gentar kepada golongan-golongan sesat. Ramai ulama'-ulama' di Fathoni mati berperang dengan Siam. Sehingga ke hari ini, ulama'-ulama' Syiah dan Wahhabi masih berdebat dengan ulama'-ulama' Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Tok-tok guru pondok juga berdebat dengan Wahhabi dan ajaran-ajaran sesat. Imam Abu Hassan Asy'ari kerapkali berdebat dengan puak Muktazillah.
Apabila kita difitnah, maka wajib kita bangun untuk membela diri dan mempertahankan kebenaran yang kita bawa. Namun, perdebatan yang wajar itu memerlukan kaedah yang betul iaitu merangkumi capaian tahap yaqin. Dimulai dengan ilm al-yaqin, kemudian ain al-yaqin, seterusnya haq al-yaqin. Menjadi kesilapan yang besar jika kita mempergunakan jalan perdebatan semata-mata bertujuan untuk menang mempertontonkan ketinggian ilmu masing-masing kerana jelas perbuatan sebegitu hanya mengakibatkan hati menjadi semakin keras.
Sekiranya kita berada di pihak yang benar, pasti Allah akan membantu kita. Inilah pejuang yang sanggup mati pada bila-bila masa sahaja, PEJUANG 'AQIDAH! Tidak lari walaupun sejengkal, malah sentiasa mara. Inilah perjuangan kami! Kami pewaris Nabi s.a.w dan para 'alim ulama'. Kami tidak redho dengan kesesatan. Kami tidak akan membiarkan umat Islam disesatkan oleh orang-orang yang sesat lagi menyesatkan. Darah pejuang-pejuang Islam telah mengalir ke dalam diri kami.
Ya Allah, matikanlah kami di jalan ini! Jikalau pejuang-pejuang masa lampau mati di medan perang, maka matikanlah kami di jalan memperjuangkan dan memperbetulkan 'aqidah ummat Islam. Betapa bersyukurnya kerana dipilih Allah untuk memperjuangkan 'aqidah suci ummat Islam. Maka, tidak akan kami menyia-nyiakannya walaupun meninggal dunia.
Marilah kita bertawajuh kepada Allah s.w.t.! Di hadapan kita ada nafsu yang jahat daripada pelbagai fitnah dunia dan Syaitan. Fitnah daripada kalangan jin dan manusia yang mengganggu generasi-generasi kita yang bakal menjadi mangsa fitnah tersebut. Oleh itu, apabila kita jujur dan ikhlas kepada Allah, pasti Dia akan menghantarkan bantuan dan pertolongan dari jalan yang tidak disangka-sangka. Maka, ucapkanlah, "Ya Hayyum Ya Qayyum! (Wahai Tuhan Yang Maha Gagah dan Maha Perkasa!). Akhirul kalam, sahabat-sahabat sekalian, sediakanlah perisai yang ampuh untuk diri masing-masing, nescaya Allah akan sentiasa melindungi kita.