16 November 2012

Kisah Rabiah al-Adawiyyah (3)


Suatu hari Rabi'atul Adawiyyah pergi menemui Hassan Al-Basri. Beliau sedang menangis teresak-esak kerana lupa kepada Allah. Hebatnya tangisan beliau itu sehingga air mata mengalir di longkang rumahnya. Melihat perkara itu, Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Janganlah tunjukkan perasaan sedemikian ini supaya batinmu penuh dengan cinta Allah dan hatimu tenggelam dalamnya dan kamu tidak akan mendapati di mana tempatnya." 

Dengan penuh keinginan untuk mendapatkan kemasyhuran, suatu hari Hassan al-Basri yang sedang melihat Rabi'atul Adawiyyah dalam satu perhimpunan aulia' Allah terus menuju bertemu Rabi'atul Adawiyyah dan berkata, "Marilah kita meninggalkan perhimpunan ini dan marilah kita duduk di atas air tasik sana serta berbincang hal-hal keruhanian." Beliau berkata dengan niat mahu menunjukkan keramatnya kepada orang lain bahawa dia dapat menguasai air seperti Nabi Isa a.s. boleh berjalan di atas air. Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Hassan, buangkanlah perkara yang sia-sia itu. Jika kamu mahu benar memisahkan diri dari perhimpunan Aulia' Allah, maka kenapa kita tidak terbang sahaja dan berbincang di udara?" Rabi'atul Adawiyyah berkata begini kerana beliau mempunyai kuasa berbuat demikian tetapi Hassan al-Basri tidak mempunyai kuasa seperti itu. Hassan al-Basri meminta maaf. Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Ketahuilah bahawa apa yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan jika aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara yang luarbiasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan-santun terhadap Allah.

Seorang hamba Allah bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah tentang perkara perkahwinan. Beliau menjawab, "Orang yang berkahwin itu ialah orang yang ada dirinya. Tetapi aku bukan menguasai badan dan nyawaku sendiri. Aku ini kepunyaan Tuhanku. Pintalah kepada Allah jika mahu mengahwiniku."

Hassan al-Basri bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, "Bagaimanakah beliau mencapai taraf kerohanian yang tinggi itu." Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Aku hilang (fana) dalam mengenang Allah." Beliau ditanya, "Dari mana kamu datang?" Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Aku datang daripada Allah dan kembali kepada Allah." Rabi'atul Adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah mengingatnya sebagai sahabat. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Siapa yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu atau benci kepada syaitan."

Seseorang bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, "Adakah kamu melihat Tuhan yang kamu sembah itu? Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Jika aku tidak melihat Dia, aku tidak akan menyembah-Nya." Rabi'atul Adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Seseorang bertanya kepadanya mengapa beliau menangis. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Aku takut berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafas terakhir. "Jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di majlisKu."

Allah suka kepada hamba-Nya yang bersyukur apabila ia berusaha sepertimana ia bersyukur tatkala menerima kurnia-Nya iaitu ia menyedari yang ia tidak sanggup berusaha untuk Allah tanpa pertolongan dan kurniaan Allah. Seseorang bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, "Adakah Allah menerima taubat orang yang membuat dosa?" Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Itu hanya apabila Allah mengurniakan kuasa-Nya kepada pembuat dosa itu yang ia digesa untuk mengakui dosanya dan ingin bertaubat. Hanya dengan itu Allah akan menerima taubatnya kerana dosa yang telah dilakukannya."

Salih Al-Qazwini selalu mengajar muridnya, "Siapa yang selalu mengetuk pintu rumah seseorang, akhirnya suatu hari nanti pintu itu pasti akan dibuka untuknya." Suatu hari Rabi'atul Adawiyyah mendengar beliau bercakap demikian. Rabi'atul Adawiyyah pun berkata kepada Salih, "Berapa lama kamu hendak berkata demikian menggunakan perkataan untuk masa depan iaitu "akan dibuka"? Adakah pintu itu pernah ditutup? Pintu itu sebenarnya sentiasa terbuka." Salih mengakui kebenarannya itu.

Seorang hamba Allah berteriak, "Aduh, sakitnya!" Rabi'atul Adawiyyah bertemu dengan orang itu dan berkata, "Oh! bukannya sakit." Orang itu bertanya kenapa beliau berkata begitu. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Kerana sakit itu adalah satu nikmat bagi orang yang sangat mulia di sisi Allah. Mereka merasa seronok menanggung sakit itu." Suatu hari, Rabi'atul Adawiyyah sedang melihat orang yang sedang berjalan dengan kepalanya berbalut. Beliau bertanya, mengapa kepalanya dibalut. Orang itu menjawab mengatakan ia sakit kepala. Rabi'atul Adawiyyah bertanya, "Berapa umurmu?" Jawab orang itu, "Tiga puluh." Rabi'atul Adawiyyah bertanya lagi, "Hingga hari ini begaimana keadaanmu?" Kata orang itu, "Sihat-sihat sahaja." Rabi'atul Adawiyyah pula berkata, "Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan kamu, tetapi kamu tidak mengibarkan bendera pada badanmu untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah, dan agar manusia bertanya kenapa kamu gembira sekali dan setelah mengetahui kurniaan Tuhan kepadamu, mereka akan memuji Allah. Sebaliknya kamu, setelah mendapat sakit sedikit, membalut kepalamu dan pergi ke sana ke mari menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu. Mengapa kamu berlaku sehina itu!"

Suatu hari khadamnya berkata, "Puan, keluarlah dan mari kita melihat keindahan kejadian Tuhan di musim bunga ini." Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Duduklah dalam rumah seperti aku berseorangan dan melihat yang menjadikan. Aku lihat Dia dan bukan kejadian-Nya."

Suatu hari, orang bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, kenapa beliau tidak menyimpan pisau dalam rumahnya. Beliau menjawab, "Memotong itu adalah kerja pisau. Aku takut pisau itu akan memotong pertalian aku dengan Allah yang kucintai." Suatu masa, Rabi'atul Adawiyyah berpuasa selama lapan hari. Pada hari terakhir, beliau merasa lapar sedikit. Datang seorang hamba Allah membawa minuman yang manis dalam sebuah cawan. Rabi'atul Adawiyyah mengambil minuman itu dan meletakkannya di atas lantai di suatu penjuru rumahnya itu. Beliau pun memasang lampu. Datang seekor kucing lalu menumpahkan minuman ke dalam cawan itu. Melihat itu, terfikirlah Rabi'atul Adawiyyah mahu meminum air sahaja malam itu. Tatkala ia mahu mencari bekas air (tempayan), lampu pun terpadam. Bekas air itu jatuh dan pecah airnya bertaburan di atas lantai. Rabi'atul Adawiyyah pun mengeluh sambil berkata, "Tuhanku! Mengapa Kau lakukan begini kepadaku?"

Terdengar suara berkata, "Rabi'atul Adawiyyah, jika kamu mahukan kurnia dunia, Aku boleh berikan kepadamu, tetapi akan menarik balik darimu siksaan dan kesakitan yang Aku beri kepadamu. Kurnia dunia dan siksaan Aku tidak boleh duduk bersama-sama dalam satu hati. Rabi'atul Adawiyyah, kamu mahukan satu perkara dan Aku mahukan satu perkara lain. Dua kehendak yang berlainan tidak boleh duduk bersama dalam satu hati." Dengan serta-merta beliau pun membuangkan kehendak kepada keperluan hidup ini, keadaannya seperti orang yang telah tidak berkehendakkan lagi perkara-perkara dunia ini ketika nyawa hendak bercerai dengan badan.

.....................
(bersambung)

Tiada ulasan:

Sahabat