18 Oktober 2010

Ilm al-Yaqin

Alhamdulillahi Robbil 'Alamin..
Syukur, sehingga ke hari ini, Allah dengan sifat Maha ar-Rahman dan ar-RahimNYA masih berkenan mengurniakan kepada kita semua nikmat paling berharga, bernafas menghirup udaraNYA. Cuaca redup di luar sana membenarkan ketenangan menyusup jauh ke lubuk qolbu saat ini. Hujan renyai-renyai membasahi bumi Gombak. Sahabat-sahabat, renungkanlah bahawa tiada satu pun titisan hujan yang turun ke bumi melainkan ia merupakan taqdir daripada Allah Ta'ala. Begitu juga, berkumpulnya kita semua dalam wasilah dakwah ini, semuanya terjadi atas qudrat iradatNYA. Bukti rahmat Ilahi yang tiada bertepi itu.

Wahai muslimin dan muslimat yang dikasihi Allah sekalian,
ana mengajak kepada entum semua untuk sama-samalah kita kembali mentadabbur al-Qur'an dengan keyakinan yang benar.

"Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya. Ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan adanya hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan, dan merekalah orang-orang yang berjaya." (al-Baqarah: 2-5)

Setiap kalimat-kalimat Robb wajib dihalusi dengan penuh keyakinan. Kerana sesungguhnya, kalam-kalam Tuhan itu menjadi nur kepada hati-hati orang-orang yang bertaqwa. Bagaimana yang dikatakan sifat bagi orang-orang yang bertaqwa itu? Para muttaqin itu ialah mereka yang apabila sebelum melaksanakan segala bentuk amal ibadat, telah terlebih dahulu beriman kepada perkara-perkara ghoibiyyat dengan keyakinan yang utuh teguh. Juga yakni mereka yang ingin mengambil 'ibroh daripadanya dengan pandangan basiroh.

Suatu ketika, berhimpunnya Abu Bakar dan Abu Lahab di samping Rasulullah s.a.w. Seorang dalam keadaan dirinya yang mulia, sedangkan seorang lagi dalam keadaan hina. Yang membezakan di antara mereka adalah pada dasar i'tiqodnya. Saidina Abu Bakar RA diangkat bukan disebabkan oleh kadar kuantiti sejauh mana banyaknya ibadat yang dilakukan, akan tetapi terdapat sesuatu pada hatinya yang menjadikannya mulia, iaitu keyakinan teguh kepada Allah dan Rasul sehingga mengatasi batas logik. Sebagai contoh, dalam peristiwa Isra' Mikraj yang mana orang-orang kafir menganggap bahawa hal itu merupakan suatu kebohongan yang besar. Tetapi tidak pada Abu Bakar. Dia tetap juga mempercayai apa sahaja wahyu yang disampaikan oleh Rasul. Dengan itu, gelaran as-Siddiq sememangnya amat layak buat dirinya yang sentiasa membenarkan setiap butir bicara dan perilaku Rasulullah s.a.w.

Apa sebabnya kita perlu memiliki al-yaqin itu? Kerana, al-yaqin itu akan mencicipi rasa lazatnya iman. Seterusnya, dibalas setiap ibadat itu dengan rasa kenikmatan. Umat Islam seluruhnya akan menjadi mulia apabila mempelajari apa yang diajarkan Nabi melalui Ilm al-Yaqin yang dengan itu akhirnya akan menatijahkan Haqqul Yaqin. Wallahu a'lam!

Tiada ulasan:

Sahabat